Kedai Maya - Wajib Klik

Wednesday, April 22, 2009

Sunday, April 19, 2009

Maksud Edrie Hashim, STACY ialah juara AF terbaik ever...!

Tentang AF7 - Apa kata Edrie Hashim tentang AF7 dan STACY?

Masih mencari pesona bintang?


GAYA persembahan Isma dan suaminya, Zul 2 Bye 2, yang disifatkan erotik dan ganas oleh pengkritik jemputan.

MERANGKAK ke konsert minggu keenam malam ini, prestasi rata-rata peserta program yang kononnya 'bukan program pencarian penyanyi', Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) sebenarnya masih tidak boleh dibanggakan.

Melepasi konsert minggu kelima Sabtu lalu, pengkritik tetap AF7, komposer popular Edrie Hashim menyifatkan kemahuannya untuk melihat 'pesona bintang' seiring dengan kedudukan undian tertinggi dalam carta lapan lagi pelajar yang masih kekal di AF7 belum bertemu titik.

"Saya antara orang yang pilih mereka, tapi sampai ke tahap ini, hanya satu atau dua orang sahaja yang benar-benar menyerlah dari segi vokal.

"Contohnya Isma, kalau dilihat dari segi persembahan dan undian, dia sudah dipilih oleh Malaysia dan pengundi SMS sebagai juara AF7 kerana selalu di kedudukan teratas. Sayangnya, telinga komposer saya yang mencari vokal untuk masuk studio sebagai penyanyi rakaman, belum mampu melihat faktor itu ada dalam diri Isma.

"Kalau betul dia terbaik, dia kena buktikan kepada saya. Sebagai komposer, saya berhak untuk meminta sesuatu yang lebih daripada Isma. Itu sahaja masalah saya," ujar Edrie serius dengan prinsipnya.


DUET Hafiz dengan bekas juara AF5, Mila, mendendangkan lagu Terlanjur Cinta sangat mengesankan khalayak.

Ditanya tentang calon juara, ada beberapa nama di mata Edrie yang berpotensi besar. Sayangnya, menurut juri yang dianggap kurang nilai celupar tetapi beridea bernas ini, belum ada seorang pun yang boleh mengalahkan bekas juara AF terdahulu.

"Belum ada yang boleh 'pukul' juara AF6, sebab itu saya kena terus beri tekanan terhadap semua peserta," katanya ketika ditemui dalam sidang media usai konsert minggu kelima menyaksikan penyingkiran peserta tinggi lampai, Sidi.

Penyanyi berkredibiliti, Adibah Noor yang pertama duduk di kerusi pengkritik AF7 pula tampil dengan pandangan peribadi.

Katanya, 'permintaan' pengkritik AF lazimnya tidak selari dengan kemahuan para pengundi SMS.

"Biasanya dalam AF, para pengundi SMS bukannya terdiri daripada pengikut yang mahu mendengar komen para pengkritik.

"Pada saya hanya ada dua orang calon juara yang paling layak ketika ini, tapi mereka ini bukan lagi juara secara 100 peratus. Jujurnya saya sudah nampak bintang di atas kepala Hafiz dan Aril," beritahu Adibah secara spontan.

Melihatkan keunikan dan kemampuan vokal, sampai ke tahap hari ini, kemunculan Hafiz dan Aril jarang mengecewakan pemerhati AF. Dalam akademi, personaliti dan karakter yang dimiliki dua jejaka, seorang dari Kuching dan seorang dari Kuala Lumpur itu ternyata berbeza, namun di pentas mereka berkongsi kemampuan yang hampir setaraf.

Babak drama berterusan

Menyentuh atmosfera konsert minggu kelima AF7 bertemakan lagu duet baru-baru ini, masih ada cerita berbangkit yang menarik perhatian.

Walaupun masih klise dengan drama sebabak seperti penyatuan suami isteri serta jejak kasih antara ibu dan anak di pentas, setidak-tidaknya itulah warna-warni AF7 yang mula menarik perhatian. Barangkali juga sebagai salah satu strategi menagih undi.


NALURI seorang ibu, Claudia mendakap erat anaknya, Christian yang sekian lama dirindui.


Mungkin selepas ini, krew terbitan AF7 perlu kreatif dalam mencetuskan drama kerana jika keterlaluan takut pula rasa mual bergelora di jiwa penonton.

Kemunculan semula Zul 2 Bye 2 berkolaborasi menyanyikan lagu Kau Mawarku bersama Isma memang menyentuh perasaan, sehinggakan ada penonton terbuai dalam romantika suami isteri yang terpisah demi AF7 itu.

Seolah-olah melepaskan rindu dendam Isma dan Zul melantunkan setiap lirik penuh emosi dalam bahasa tubuh yang sangat natural. Namun, kerana program ini bukan program Sehati Berdansa, Adibah Noor bagaimanapun menegur aksi Isma dan Zul yang dilihatnya sebagai aksi ganas berunsur '18SX'. Dalam bahasa filem, ini adalah klasifikasi untuk tontonan mereka yang berusia 18 tahun ke atas, kerana mengandungi unsur seks dan ganas.

Selain Isma dan Zul 2 Bye 2 yang diberi kesempatan bertemu orang tercinta, kerinduan Claudia untuk memeluk anak lelakinya, Christian yang masih kecil juga terubat.

Sayangnya, krew terbitan AF7 tidak sempat untuk menemukan Sidi bersama isterinya yang dirindui sepanjang berada di AF7 kerana konsert minggu kelima menjadi konsert terakhir buat Sidi.



Sidi sendiri mengakui, faktor emosi serta perpisahan dengan orang tersayang juga menyumbang kepada kehilangan semangatnya sepanjang berjuang.

"Mungkin orang nampak saya kurang menyerlah kenapa tidak banyak cakap. Sudah tentu saya rindukan kata-kata semangat daripada dia, tapi tidak mengapa kerana usaha saya untuk pergi jauh dalam nyanyian tidak akan berhenti di sini," katanya reda dengan keputusan yang tidak memihak kepadanya minggu lalu.

Menyaksikan AF7 minggu lalu sebenarnya tidak ubah seperti melihat drama jejak kasih. Tidak cukup dengan gelagat Isma bersama suami, Claudia bersama anak, AF7 menambah babak penyeri minggu lalu dengan gegak gempita paluan kompang. Ia sebagai ucapan selamat pengantin baru kepada bapa Yazid yang baru sahaja menamatkan zaman duda setelah sekian lama kematian isteri. Yazid pula diberi kesempatan bertemu bapa dan ibu 'barunya' buat seketika kerana berada dalam AF7 semasa pernikahan bapanya, baru-baru ini.

Selain gandingan bekas-bekas bintang AF lama bersama para peserta, itu semua antara drama sebabak AF7 minggu lalu.

Apa pula babak-babak dalam drama minggu ini? Sama-samalah kita saksikan.

Monday, April 6, 2009

Menakjubkan! Gambar mikroskopik tentang badan kita. Tak boleh dilihat dengan mata kasar!

Gambar-gambar berikut telah dirakam menggunakan mikroskop elektron pengimbas (SEM). Saiz mikro organ-organ badan manusia telah diperbesarkan sebanyak lebih kuranf 250 000 kali ganda.
Vilus pada usus kecil

Telur/Ovum dengan sel korona

Sperma di atas telur / ovum

Sel kanser paru-paru

Sel darah merah

Sel bulu-bulu halus dalam telinga

Saraf perasa pada lidah

Salur darah dalam saraf optik

Neuron Purkinje (lapisan pada otak)

Plak Gigi


Hujung rambut yang pecah

Embrio manusia (kelihatan masih ada sisa sperma)

Embrio manusia berusia 6 hari (warna keperangan)


Alveoli Pada Paru-paru

Sumber : Fun on the net


Tuesday, March 31, 2009

PEROGOL SIBER (Info Berguna - Baca hingga habis yer)

Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my

Bukan perkara baru namun ia juga tidak pernah selesai.

Membincangkan soal Internet, pengguna akan lebih menghubungkannya dengan jenayah penipuan atau gejala sosial lain.

Malah, ia menjadi medan baru untuk perogol yang mencari mangsanya dengan modus operandi lebih tersusun dan kurang berisiko.

Perogol bukan lagi melepak di tepi jalan dan menunggu mangsa untuk diratah namun bertukar menjadi jenayah tersusun apabila mereka mengkaji sifat mangsanya terlebih dulu sebelum bertindak.

Perbuatan itu lebih senang dilakukan jika perogol berkomunikasi secara maya tanpa perlu mendedahkan identiti terutama wajahnya terlebih dulu memandangkan proses hubungan itu memerlukannya mencungkil seberapa banyak maklumat sebelum menjerat mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa.

Gejala ini masih berleluasa walaupun ia tidak membabitkan statistik besar, namun perkembangan Internet yang berleluasa sedikit sebanyak memberikan perogol idea baru mencari mangsa mereka.

Internet menjadi sebahagian hidup terutama golongan muda kini. Menghalang mereka menggunakan Internet seolah-olah melumpuhkan separuh hayat mereka.

Janis Wolak dari Universiti New Hampshire memaklumkan kajian ke atas jenayah seks mendapati perogol menggunakan Internet yang mensasarkan kanak-kanak atau remaja sebagai mangsa mereka.

"Kebanyakan lelaki dewasa menggunakan Internet untuk mengganggu kanak-kanak atau remaja sehingga mengajak mereka melakukan hubungan seks. Ia berlaku sejak zaman Internet mula diperkenalkan lagi," katanya.

Katanya, perogol siber menggunakan pelbagai perkakasan komunikasi dalam Internet seperti mesej ringkas, e-mel atau laman sembang untuk berjumpa dan memulakan hubungan intim dengan mangsa.

"Malah, terdapat kajian menunjukkan lima peratus pesalah berlakon sebagai budak remaja apabila mereka mahu berjumpa bakal mangsa secara online," kata Wolak.

Jelas, ini membuktikan tidak semua maklumat yang diperoleh di Internet boleh dipercayai.

Malah, dalam kebanyakan kes ia meletakkan risiko serta bahaya terutama kepada kanak-kanak yang masih belum dapat membezakan antara palsu dan kebenaran.

Berdasarkan kes dilaporkan polis, ternyata Internet boleh menjadi perantara yang cukup mudah untuk penipu mahupun perogol melakukan jenayah.

Jika wanita dewasa yang dikira cukup matang untuk membezakan antara palsu dan benar juga boleh tertipu, apatah lagi kanak-kanak.

Beberapa perkara utama yang perlu ditekankan ibu bapa kepada anak ialah tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada orang asing atas alasan apa sekalipun.

Maklumat ini termasuk nama penuh, alamat, nombor telefon, tarikh lahir, nama sekolah atau alamat e-mel serta nama orang lain termasuk ahli keluarga.

KES 1

KIRA-KIRA empat tahun lalu di Petaling Jaya, seorang pelajar menjadi mangsa rogol seorang lelaki berusia yang dikenalinya ketika melayari ruang sembang di Internet.

Lelaki terbabit berjaya memujuknya keluar sebelum menawarkan minuman kepada mangsa dan membawanya ke bilik ketika berada dalam keadaan khayal akibat pemberian dadah.

KES 2

DI Detroit, Amerika Syarikat, seorang doktor kanak-kanak menghadapi tuduhan menggunakan Internet untuk mengadakan hubungan seksual dengan seorang anggota polis wanita yang menyamar sebagai gadis berusia 14 tahun.

Hrishikesh Dingankar, 28, yang sudah berkahwin, mengenalkan dirinya sebagai doktor yang mahu bertemu kanak-kanak terbabit untuk mengadakan hubungan sejenis.

KES 3

SEORANG pemuda menggunakan lawan web mencari kenalan di Internet sebagai jerat untuk menggoda dan memikat gadis sekolah sebelum dipujuk melarikan diri dari rumah.

Dalam kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur pada tahun lalu, pemuda berusia 24 tahun itu didakwa menawan hati seorang murid perempuan berusia 12 tahun selepas berkenalan beberapa minggu melalui Internet.

Mangsa yang masih mentah berhubung soal cinta turut melarikan diri bersama suspek sebelum ditemui semula. Penjenayah terbabit turut ditahan.

KES 4

DI Singapura, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun didapati hamil hasil hubungan seks dengan teman lelaki yang dikenalinya melalui laman sembang di Internet.

Lelaki berkenaan, seorang penganggur, enggan bertanggung jawab dan meninggalkan kanak-kanak berkenaan.

Beberapa bulan kemudian dia ditahan kerana mengugut seorang kanak-kanak perempuan lain untuk menyebarkan gambar separuh bogelnya.

Sebelum itu, lelaki durjana berkenaan meminta kanak-kanak terbabit menghantar gambar separuh bogelnya melalui telefon bimbitnya.

KES 5

SEORANG pelajar didakwa merogol seorang remaja berumur berusia 14 tahun yang dikenali melalui Internet meskipun mangsa mengaku rela diperlakukan begitu kerana mencintai tertuduh.

Pelajar 19 tahun dari Abu Dhabi itu mengenali remaja perempuan dari Dubai itu dan jatuh cinta sebelum melakukan seks di kawasan padang pasir.

Mereka ditahan polis peronda yang terserempak dengan mereka.

"Saya mencintai dan rela melakukan seks dengannya. Kami keluar selepas ibu bapa saya tidur," remaja perempuan itu dipetik agensi berita sebagai berkata.

Beberapa langkah perlu diambil bagi membendung gejala ini walaupun ia tidak berada di peringkat yang serius memandangkan keupayaan berkomunikasi semakin berkembang luas.

Terdapat beberapa langkah seperti disyorkan laman e-keselamatan yang perlu diberi perhatian termasuk:

1. Anak kecil tidak boleh menggunakan ruang sembang - bahayanya cukup besar. Apabila mereka semakin besar, halakan mereka ke ruang sembang yang diawasi dengan rapi.

2. Jika anak anda menyertai ruang sembang, pastikan anda tahu ruang yang mereka lawati dan dengan siapa mereka berbual. Awasi kawasan bual itu sendiri untuk melihat jenis perbualan yang berlangsung.

3. Arahkan anak anda agar tidak meninggalkan kawasan awam dalam ruang sembang. Kebanyakan ruang sembang menawarkan kawasan peribadi yang mana pengguna boleh berbual antara satu sama lain secara lebih peribadi.

4. Pastikan komputer yang disambung pada Internet diletakkan di ruang kegunaan bersama dalam rumah dan bukan di dalam bilik anak.

5. Jika anak masih kecil, mereka perlu berkongsi alamat e-mel keluarga dan bukannya mempunyai alamat e-mel sendiri. Apabila mereka semakin besar, anda boleh meminta Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) anda untuk menetapkan alamat e-mel berasingan, tetapi e-mel anak anda masih berada dalam akaun anda.

6 Jika semua langkah pencegahan gagal dan anak anda tetap menemui pemangsa dalam talian, jangan salahkan mereka. Penjenayah itu harus bertanggungjawab sepenuhnya. Ambil tindakan tegas untuk menghalang anak anda daripada menghubungi orang itu lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...