Kedai Maya - Wajib Klik

Monday, February 21, 2011

SUNGAI KITA ADALAH HIDUP KITA: Asal-usul Sungai dan Kepentingan Sungai.

Pencetus idea untuk entry kali ini... kisahnya begini... TcRaiN kalau nak pergi kerja atau ke pekan, kena lalu satu LLC (LLC tu ialah Low Level Crossing). Sejenis laluan dibina daripada konkrit, di bawah aliran air sungai. Tadi, masa lalu kat situ, anak TcRaiN  Ijoi yang kuat berangan tu tiba-tiba bertanya... "Mama... sungai ni di mana permulaannya...?" Lepas tu Iddin pula menyampuk... "Ya... di mana dia habis Mama?" Disebabkan masa tu tengah memandu... TcRaiN jawab secara ringkas saja "Dari bukit atau gunung, dan berakhir di laut. Penerangan selebihnya nanti Mama tulis dalam blog ya?" 

Jadi...
Bagaimanakah sungai terbentuk?
Daripada pengetahuan yang TcRaiN dapat semasa belajar Geografi Fizikal sewaktu di sekolah menengah dulu, (err nama Cikgu yang ajar tu ialah Cikgu Poobalan A/L Muthusamy dan Cikgu Ahmud Bin Saribin) sungai terbentuk apabila air hujan jatuh ke kawasan tanah tinggi.  Di kawasan tanah tinggi biasanya akan menerima hujan yang lebih banyak. Air hujan ini akan meresap ke dalam tanah, diserap oleh pokok-pokok dan bakinya akan terkumpul di kawasan tanah tinggi yang terdapat lengkungan (menyerupai sebuah kolam). Apabila lengkungan tersebut penuh maka air akan mengalir sebagai air larian. Air ini mengalir ke tempat yang lebih rendah dan keadaan tanahnya yang lebih mudah terhakis. Maka terbentuklah alur sungai. Air larian di dalam alur inilah yang membentuk sungai.

Hujan yang berterusan menjamin sungai sentiasa wujud. Hujan pula terbentuk daripada proses sejatan air laut dan sungai ke atmosfera lalu mengakibatkan pemeluapan dan pemejalwapan. Lalu... awan pun terbentuk... Apabila awan menjadi semakin tepu dan berat, awan akan menggugurkan air hujan Apabila hujan turun... maka sungai akan tetap wujud... Tetapi....harus diingat!... hanya kawasan tanah tinggi dan litupi oleh pokok-pokok sahaja yang boleh  menghasilkan sungai. Inilah yang dipanggil sebagai kawasan tadahan hujan. 

Apakah Kepentingan Sungai?
1. Kegunaan Domestik
Tiada sungai, tiadalah air paip. Tiada air paip semua orang susah. Kegunaan domestik tu maksudnya air digunakan untuk minum, makan dan mencuci. Sebab itulah kebanyakan petempatan awal dibina di pinggiran sungai.

2. Pengangkutan
Sungai adalah cara pengangkutan yang terawal. Sungai digunakan sebagai cara menghubungi satu kawasan dengan kawasan lain, menggunakan pengangkutan air. Contohnya di negeri Sarawak, cara pengangkutan utamanya ialah menggunakan sungai.

3. Pelancongan dan rekreasi.

Sungai memang tempat perkelahan yang ideal. Contohnya.... Air Terjun Mahua di Tambunan Sabah.  Air terjunnya terbentuk dengan kolam besar di bahagian bawahnya. Tempatnya tenang dan damai. Boleh mandi-manda di air yang bersih dan sejuk. Panoramanya cantik dan hawanya dingin. Unggas-unggas dan serangga pula seperti muzik orkestra yang mengalu-alukan kedatangan sesiapa saja ke sana.

Gambar Kenangan di Air Terjun Mahua





 4. Terdapat sumber asli
Contohnya di Sungai Kelang dan Sungai Gombak di Selangor, dahulunya makmur dan kaya dengan bijih timah. Ini menjadikan kawasan tersebut lebih dahulu membangun berbanding kawasan lain. Tempat pertembungan Sungai Gombak dan Sungai Kelang itu akhirnya di namakan Kuala Lumpur dan kini menjadi Ibu Negara Malaysia. 

Contoh lain ialah Sungai Kinta di Perak. Lembah Kinta dahulunya kaya dengan bijih timah. Ini menarik kedatangan orang asing untuk menjajah. Jika kita imbas kembali sejarah,  negeri Perak merupakan negeri pertama menerima reisiden Inggeris. Di sungai Kintalah tempatnya residen Inggeris pertama J W W Birch mati dibunuh. Kerana residen itu ingin membolot kemakmuran Perak pada ketika itu.

5. Sumber Makanan (Perikanan)
Sungai adalah tempat tinggal pelbagai spesis ikan air tawar seperti Patin, Ketutu, Keli, Kurau, Haruan, Gelama, Pelaga, Toman, Tilapia, Sebarau, Jelawat, Baung, Belida... Kelisa pun... (ikan mahal ni) dan banyak lagilah...! Bolehlah dijadikan hidangan makan tengah hari atau malam. Di masak asam pedas, lemak cili api, dibuat pekasam, sambal ikan keli goreng... Huhhh... kecur air liur membayangkannya.

Udang sungai pun ada juga. Macam udang galah...! Masa kecik-kecik dulu adalah merasa udang dari Sungai Pegalan.

6. Sumber ekonomi
Kalau ada tangkapan hasil sungai yang lebih boleh juga dijual untuk dapat duit lebih. Tapi... sekarang ni masih ada lagi ka ikan atau udang di sungai. Semua orang tahu, hidupan sungai kini sudah semakin pupus. Kalau hendak merasa ikan air tawar pun yang diambil dari kolam ternakan saja. Yang asli dah pupus...!!!  :-(

Ada enam kegunaan sungai yang TcRaiN dapat fikirkan. Mungkin masih ada lagi yang TcRaiN terlupa masukkan. Lepas ni bolehlah pembaca semua tambah-tambahkan...

Namun... adakah sungai-sungai di sekitar kita masih dapat menjalankan keenam-enam fungsi itu?  Sungai kita kini kebanyakannya 'sakit' akibat pembangunan (Contoh Sungai Kelang dan Gombak yang paling teruk dan telah sekian lama tercemar dan sukar dipulihkan).

Pokok pangkalnya... berbalik kepada kita juga, Benarkah kita menghargai sungai..? Jika ditanya .. "Bilakah kali pertama Kempen Cintailah Sungai Kita dilancarkan oleh Kerajaan?" Mungkin ramai yang akan kata.. "kejap-kejap nak pi cari dulu... " atau yang lebih teruk lagi "Ahhh.... lantaklah...!" Huuuu huuu sedihnya tak terkata.

Post ini ada bahagian keduanya. Nantikan!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...