Dari Bharian Online
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/3bulansemakSBPAlangkahterbaik_adil/Article
2012/01/23
KUALA LUMPUR: CUEPACS menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi tempoh tiga bulan bagi semakan dan penambahbaikan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebagai langkah terbaik dan adil kepada penjawat awam.Presidennya, Omar Osman berkata, setiap kali kongres mengadakan taklimat di seluruh negara, kira-kira 1.3 juta penjawat awam terutama kakitangan Gred 54 ke bawah dan Kumpulan Pelaksana Satu dan Dua memang melahirkan perasaan tidak berpuas hati terhadap SBPA sedia ada.
“Ketika ini skim itu dilihat seolah-olah berat sebelah, tidak adil dan mempunyai jurang besar daripada segi keistimewaan pekerja kelas atasan dan bawahan. Justeru, kita menyambut baik keputusan Perdana Menteri supaya SBPA diperbaiki dengan mengambil kira cadangan dan suara hati penjawat awam semua peringkat bagi memastikan nasib kami lebih terbela.
“Pada masa sama, kita mahu keistimewaan diterima kumpulan atasan disemak semula menentukan sama ada benar-benar layak diterima atau sebaliknya, berdasarkan tanggungjawab dan bebanan tugasan masing-masing,” katanya semalam.
Beliau mengulas kenyataan Najib supaya pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, membuat penambahbaikan dan menyediakan cadangan baru yang akan memuaskan hati setiap penjawat awam semua peringkat.
Omar berkata, CUEPACS akan mengadakan perjumpaan dengan penjawat awam di seluruh negara pada Februari ini untuk membincangkan semakan semula SBPA.