Kedai Maya - Wajib Klik

Sunday, April 19, 2009

Maksud Edrie Hashim, STACY ialah juara AF terbaik ever...!

Tentang AF7 - Apa kata Edrie Hashim tentang AF7 dan STACY?

Masih mencari pesona bintang?


GAYA persembahan Isma dan suaminya, Zul 2 Bye 2, yang disifatkan erotik dan ganas oleh pengkritik jemputan.

MERANGKAK ke konsert minggu keenam malam ini, prestasi rata-rata peserta program yang kononnya 'bukan program pencarian penyanyi', Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) sebenarnya masih tidak boleh dibanggakan.

Melepasi konsert minggu kelima Sabtu lalu, pengkritik tetap AF7, komposer popular Edrie Hashim menyifatkan kemahuannya untuk melihat 'pesona bintang' seiring dengan kedudukan undian tertinggi dalam carta lapan lagi pelajar yang masih kekal di AF7 belum bertemu titik.

"Saya antara orang yang pilih mereka, tapi sampai ke tahap ini, hanya satu atau dua orang sahaja yang benar-benar menyerlah dari segi vokal.

"Contohnya Isma, kalau dilihat dari segi persembahan dan undian, dia sudah dipilih oleh Malaysia dan pengundi SMS sebagai juara AF7 kerana selalu di kedudukan teratas. Sayangnya, telinga komposer saya yang mencari vokal untuk masuk studio sebagai penyanyi rakaman, belum mampu melihat faktor itu ada dalam diri Isma.

"Kalau betul dia terbaik, dia kena buktikan kepada saya. Sebagai komposer, saya berhak untuk meminta sesuatu yang lebih daripada Isma. Itu sahaja masalah saya," ujar Edrie serius dengan prinsipnya.


DUET Hafiz dengan bekas juara AF5, Mila, mendendangkan lagu Terlanjur Cinta sangat mengesankan khalayak.

Ditanya tentang calon juara, ada beberapa nama di mata Edrie yang berpotensi besar. Sayangnya, menurut juri yang dianggap kurang nilai celupar tetapi beridea bernas ini, belum ada seorang pun yang boleh mengalahkan bekas juara AF terdahulu.

"Belum ada yang boleh 'pukul' juara AF6, sebab itu saya kena terus beri tekanan terhadap semua peserta," katanya ketika ditemui dalam sidang media usai konsert minggu kelima menyaksikan penyingkiran peserta tinggi lampai, Sidi.

Penyanyi berkredibiliti, Adibah Noor yang pertama duduk di kerusi pengkritik AF7 pula tampil dengan pandangan peribadi.

Katanya, 'permintaan' pengkritik AF lazimnya tidak selari dengan kemahuan para pengundi SMS.

"Biasanya dalam AF, para pengundi SMS bukannya terdiri daripada pengikut yang mahu mendengar komen para pengkritik.

"Pada saya hanya ada dua orang calon juara yang paling layak ketika ini, tapi mereka ini bukan lagi juara secara 100 peratus. Jujurnya saya sudah nampak bintang di atas kepala Hafiz dan Aril," beritahu Adibah secara spontan.

Melihatkan keunikan dan kemampuan vokal, sampai ke tahap hari ini, kemunculan Hafiz dan Aril jarang mengecewakan pemerhati AF. Dalam akademi, personaliti dan karakter yang dimiliki dua jejaka, seorang dari Kuching dan seorang dari Kuala Lumpur itu ternyata berbeza, namun di pentas mereka berkongsi kemampuan yang hampir setaraf.

Babak drama berterusan

Menyentuh atmosfera konsert minggu kelima AF7 bertemakan lagu duet baru-baru ini, masih ada cerita berbangkit yang menarik perhatian.

Walaupun masih klise dengan drama sebabak seperti penyatuan suami isteri serta jejak kasih antara ibu dan anak di pentas, setidak-tidaknya itulah warna-warni AF7 yang mula menarik perhatian. Barangkali juga sebagai salah satu strategi menagih undi.


NALURI seorang ibu, Claudia mendakap erat anaknya, Christian yang sekian lama dirindui.


Mungkin selepas ini, krew terbitan AF7 perlu kreatif dalam mencetuskan drama kerana jika keterlaluan takut pula rasa mual bergelora di jiwa penonton.

Kemunculan semula Zul 2 Bye 2 berkolaborasi menyanyikan lagu Kau Mawarku bersama Isma memang menyentuh perasaan, sehinggakan ada penonton terbuai dalam romantika suami isteri yang terpisah demi AF7 itu.

Seolah-olah melepaskan rindu dendam Isma dan Zul melantunkan setiap lirik penuh emosi dalam bahasa tubuh yang sangat natural. Namun, kerana program ini bukan program Sehati Berdansa, Adibah Noor bagaimanapun menegur aksi Isma dan Zul yang dilihatnya sebagai aksi ganas berunsur '18SX'. Dalam bahasa filem, ini adalah klasifikasi untuk tontonan mereka yang berusia 18 tahun ke atas, kerana mengandungi unsur seks dan ganas.

Selain Isma dan Zul 2 Bye 2 yang diberi kesempatan bertemu orang tercinta, kerinduan Claudia untuk memeluk anak lelakinya, Christian yang masih kecil juga terubat.

Sayangnya, krew terbitan AF7 tidak sempat untuk menemukan Sidi bersama isterinya yang dirindui sepanjang berada di AF7 kerana konsert minggu kelima menjadi konsert terakhir buat Sidi.



Sidi sendiri mengakui, faktor emosi serta perpisahan dengan orang tersayang juga menyumbang kepada kehilangan semangatnya sepanjang berjuang.

"Mungkin orang nampak saya kurang menyerlah kenapa tidak banyak cakap. Sudah tentu saya rindukan kata-kata semangat daripada dia, tapi tidak mengapa kerana usaha saya untuk pergi jauh dalam nyanyian tidak akan berhenti di sini," katanya reda dengan keputusan yang tidak memihak kepadanya minggu lalu.

Menyaksikan AF7 minggu lalu sebenarnya tidak ubah seperti melihat drama jejak kasih. Tidak cukup dengan gelagat Isma bersama suami, Claudia bersama anak, AF7 menambah babak penyeri minggu lalu dengan gegak gempita paluan kompang. Ia sebagai ucapan selamat pengantin baru kepada bapa Yazid yang baru sahaja menamatkan zaman duda setelah sekian lama kematian isteri. Yazid pula diberi kesempatan bertemu bapa dan ibu 'barunya' buat seketika kerana berada dalam AF7 semasa pernikahan bapanya, baru-baru ini.

Selain gandingan bekas-bekas bintang AF lama bersama para peserta, itu semua antara drama sebabak AF7 minggu lalu.

Apa pula babak-babak dalam drama minggu ini? Sama-samalah kita saksikan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...